#1-Sejarah Penubuhan Syarikat Faiza.
Syarikat Faiza memulakan bisnes rempah-ratus bermula pada tahun 1968. Resepi atau formula rempah buatan tangan ini telah dihasilkan sendiri oleh Puan Hajjah Faiza Bawumi Sayed Ahmad.
Ia bukanlah resipi turun-temurun akan tetapi hasil percubaan Puan Hajjah sendiri dari dapur sehinggalah berjaya setelah percubaan berkali-kali.
Setelah itu, Puan Hajjah menjualnya dalam kadar yang sedikit dan hanya sekitar kawasan kejiranan tersebut dan saudara-mara yang berdekatan.
Hasil maklum balas yang diterima daripada mereka, Puan Faiza menambahbaik mutu rempah yang sedia ada. Resepi tersebut kemudiannya disesuaikan dengan citarasa rakyat Malaysia.
Pasaran menyaksikan permintaan dariada pelanggan yang semakin meningkat dan berkembang. Beliau mula serius untuk menjual secara besar-besaran.
Pada tahun 1998, syarikat Faiza Marketing Sdn. Bhd. (FMSB) telah ditubuhkan. Orang kuat yang menjadi tulang belakang penubuhan syarikat tidak lain tidak bukan adalah anak beliau sendiri, Puan Najwa.
Hasil usaha keras mereka, kini syarikat ini mempunyai lebih daripada 30 variasi produk dan pelbagai medium pemasaran. Dengan slogan yang amat mementingkan kebersihan dan kualiti, jenama FAIZA telah terkenal dan dipercayai di seluruh negara.
Antara yang popular adalah rempah kari Faiza, Rempah Beriani Faiza dan macam-macam lagi.
#2-Latar Belakang Pengasas.
Puan Hajah Faiza yang merupakan Pengarah Urusan Syarikat Faiza Sdn. Bhd ini bukanlah berasal dari Malaysia. Sebaliknya, beliau berasal dari Mesir.
Bapanya juga merupakan seorang peniaga kecil-kecilan. Beliau mempunyai Diploma dalam bidang Jahitan dan pernah bekerja sebagai juruwang di kedai bapanya dahulu.
Dia berhijrah ke Malaysia pada tahun 1964 kerana mengikut suaminya. Perkahwinana yang diatur ini adalah perancangan ayahnya.
Suaminya, Abu Bakar Ahmad, seorang lelaki asing dari Malaysia berusia 34 tahun yang sedang melanjutkan pengajian di Universiti Al-Azhar.
Bapanya menyuruh Faiza berkahwin dengan jejaka itu ketika berusia 16 tahun manakala suami beliau. Beliau akur dengan suruhan bapanya setelah beristikharah beberapa kali.
Pada awalnya, dia mengisi kekongan masa sebagai suri rumah dengan mengambil upah menjahit sulaman dan menjual pelbagai barangan dapur.
Kemudian, dia mendapat idea untuk membuat rempah kari dan menggunakan label bunga raya sebagai jenama.
Faiza menggunakan pelbagai rempah ratus seperti ketumbar, jintan, halba, cili kering, cengkih dan sebagainya untuk membancuh ramuan-ramuan tersebut bagi menghasilkan rempah kari ikan dan daging dan dilakukan sendiri di rumah, daripada mencuci, menjemur dan menggoreng rempah ratus tersebut.
Kemudian, beliau menghantarnya ke kedai bagi dikisar sebelum dijual.
Selain menjualnya dengan sendiri, dia mula mengedarkannya ke kedai-kedai lain di Johor. Dia juga turut belajar untuk mengenali pelbagai jenis beras sebagai salah satu cara untuk mengembangkan bisnes setelah mendapati rupanya ramai pembekal beras adalah bukan kalangan Muslim.
Puan Faiza memohon lesen pemborong beras dan menjual pelbagai jenis beras termasuk ponni, basmathi, beras wangi serta beras Siam.
Ternyata ibu kepada 7 orang anak ini adalah seorang wanita yang bijak dimana dia hanya perlukan masa 3 bulan untuk menguasai bahasa Melayu.
Sedikit sebanyak pengalaman yang diraih semasa bekerja di kedai ayahnya dahulu telah menjadi pendorong untuk dia berkecimpung dalam dunia bisnes dengan lebih serius dan bertahan hampir 5 dekad dalam industri.
#3-Tercetusnya Idea Beras Faiza.
Dia terdorong untuk mula memasarkan beras ponni pada tahun 1998 kerana beras dari India yang dipercayai baik untuk kesihatan, khususnya bagi penghidap diabetes, obesiti dan darah tinggi.
Dengan kerjasama Universiti Putra Malaysia (UPM), satu kajian telah dilakukan dan hasilnya memang positif. Dengan pelaburan berjuta-juta ringgit, beras ini dijual dengan eksklusif di bawah jenama Taj Mahal.
Selain beras, dia juga turut menghasilkan produk lain antaranya adalah bihun yang diproses khas di kilangnya.
Kilang tersebut mampu mengeluarkan sebanyak sembilan tan bihun sehari dan mereka telah menyasarkan jualan sebanyak RM12 juta bagi tahun pertama.
Kini, dia mempunyai hampir 600 pekerja dan mengedar lebih 21 jenama beras di negara ini. Antara beras yang popular dalam kalangan pembeli adalah Herba Ponni Taj Mahal.
Produk beras keluaran Syarikat Faiza mendapat sambutan menggalakkan kerana kualitinya dan mereka komited untuk menghasilkan lebih banyak produk makanan yang halal untuk kegunaan ramai.
Dia mempunyai kilang di Kuala Lumpur, Kedah dan Terengganu. Antara cita-cita murninya adalah untuk menjadi pembayar zakat terbesar di negara ini.
Walaupun sudah bergelar nenek kepada 32 cucu, dia masih kekal aktif dan sibuk merancang pelbagai strategi bagi mengukuhkan jenama syarikat.
Penyertaan syarikat dalam rancangan Bersamamu TV3 adalah antara usaha murni syarikat untuk membantu komuniti yang memerlukan dan mengekalkan imej yang baik untuk syarikat.
#4-Cabaran Syarikat Faiza.
Sudah terbiasa hidup secara sederhana dan berdikari, dia memastikan anak-anaknya juga menerima ajaran yang sama.
Sejak kecil anak-anaknya dilatih menjual dan mereka mendapat upah supaya mereka mengenal erti penat lelah dalam mencari wang sendiri.
Menguruskan bisnes bukanlah perkara senang. Dia sendiri pernah menangkap pekerja yang menipu dan mencuri guni beras kerana harganya mahal di pasaran.
Syarikatnya juga turut mengalami kejatuhan dalam jualan semasa ekonomi gawat namun dengan strategi pemasaran yang berkesan, mereka masih bertahan dalam pasaran.
#5-Nasihat Pengasas Faiza Kepada Semua Usahawan.
Sebagai orang bukan Melayu, Faiza menasihatkan umat Islam di negara ini supaya hidup bersatu padu supaya tidak mudah ditindas oleh bangsa lain.
Hubungan yang kukuh sesama umat Islam bukan sahaja mampu memajukan masyarakat Islam di negara ini, malah mampu meningkatkan kedudukan ekonomi masyarakat tersebut.
Para usahawan juga perlu mengamalkan cara hidup dengan berpegang kepada ajaran Al-Qur’an, dan bersikap sentiasa senang hati apabila melihat kesenangan orang lain, dan bukannya berperasaan iri hati serta berhasad dengi apabila melihat kejayaan orang lain.
Sepanjang berniaga, Faiza belajar daripada bangsa lain yang membuka membuka mindanya untuk menyedarkan masyarakat Islam khususnya orang Melayu betapa perlunya mengamalkan sikap tolong-menolong antara satu sama lain seperti yang diamalkan bangsa lain.
Disamping kesibukan bisnes sedia ada, dia konsisten mengamalkan solat sunat tahajjud, solat sunat Dhuha dan membaca Surah Al-Waqiah bagi mendapat keberkatan dan kemurahan rezeki bisnes.
Penulis : Editor majalah niaga
Sumber artikel : http://www.majalahniaga.com/wanita-mesir-usahawan-yang-berjaya-di-malaysia-bermula-dengan-bisnes-kecil-dari-rumah.html