-->

Minggu, 05 November 2017

Elakkan Pembunuh Senyap Ini Bagi Mengekalkan Produktiviti Perniagaan Anda

Sedar atau tidak, anda telah diberikan tugasan untuk diselesaikan namun masa yang diberikan seakan tidak mencukupi. Kadangkala, masa yang diperuntukkan sudah mencukupi tetapi anda masih tidak dapat menyelesaikannya dan berasa tidak produktif.


Hal ini disebabkan kita menggunakan masa secara tidak cekap. Dalam perniagaan, tabiat itu mengundang 1001 bencana dan musibah. Untuk mengekalkan produktiviti tersebut, elakkan penggunaan secara berlebihan perkara-perkara berikut:

#1 – Media Sosial


Media sosial menjadi faktor utama anda tidak produktif semasa bekerja kecuali anda merupakan individu yang bertanggungjawab mengendalikannya untuk perniagaan.

Selain itu, media sosial hanya sangat berguna untuk membuat jaringan, saling berhubung dengan rakan-rakan lama dan melihat gaya terkini serta isu semasa. Keadaan menjadi parah apabila anda menggunakannya untuk bergosip dan mengaibkan individu lain.

Anda boleh melihat akaun persendirian media sosial anda hanya pada waktu rehat dan semasa pulang menaiki pengangkutan awam. Anda akan mudah ralit dan mengabaikan perusahaan anda sekiranya begitu asyik menikmati media sosial masing-masing.

#2 – Mesyuarat


Mesyuarat saat akhir dan tanpa agenda yang kukuh hanyalah sekadar membuang masa anda. Kerja hakiki anda juga anda terganggu akibat daripada mesyuarat yang tidak membawa sebarang kata putus tersebut.

Fikirkan dalam seminggu, berapa banyak kali mesyuarat yang dijalankan sebenarnya mengganggu kerja hakiki anda? Anda seharusnya mempelajari untuk berkata ‘tidak’ untuk mesyuarat yang membazir masa.

Anda sebenarnya boleh menyelesaikan masalah yang wujud mungkin dengan panggilan telefon dan ‘group chat’ syarikat anda.

#3 – E-mel

E-mel yang tertera pada skrin komputer anda kadangkala menggangu tugas yang perlu diselesaikan. Menyemak e-mel dengan kerap sebenarnya menggangu dan menjadikan anda seorang pekerja yang tidak produktif.

Hal ini berbeza sekiranya anda sedang menunggu e-mel yang penting. Anda digalakkan untuk membuat jadual untuk menyemaknya seperti pada waktu pagi, selepas waktu makan tengh hari dan sebelum pulang ke rumah.

#4 – Pelbagai Kebolehan (Multitasking)


Benarkah ‘multitasking’ itu membunuh produktiviti? Setuju atau tidak, jawapannya ‘YA’. Kita ambil satu situasi, sekiranya anda juga perlu menyemak e-mel dan dalam masa yang sama, anda juga perlu menyelesaikan tugas hakiki anda.

Keputusannya, kebolehan anda sebenarnya membazirkan masa kerana perlu membahagikan fokus anda kepada dua dan itu bukan namanya fokus! Anda juga perlu bekerja lebih pula untuk tugas sampingan tersebut.

Namun sekiranya anda boleh mengawal kerja hakiki dan ‘kerja sampingan’ tersebut pada landasan yang betul, tiada masalah untuk anda lakukan. Cuma fizikal dan mental anda pula yang terkesan. Fikirkan betul-betul.

Penulis : Editor majalah niaga
Sumber artikel : http://www.majalahniaga.com/elakkan-pembunuh-senyap-ini-bagi-mengekalkan-produktiviti-perniagaan-anda.html
Back To Top