-->

Minggu, 05 November 2017

4 Kesalahan Yang Sering Dilakukan Oleh Usahawan Muda

Menjadi usahawan yang berjaya bukanlah sesuatu yang boleh dianggap mudah seperti memetik jari-jemari. Terdapat usahawan yang bersengkang mata dan memerah tenaga dan berhempas pulas bagi menjayakan sesuatu perusahaan yang dijalankannya.


Berbicara mengenai usahawan muda, seringkali kita melihat kejayaan demi kejayaan yang berjaya diraih oleh mereka selari dengan kemajuan teknologi dan kepantasan media sosial yang membantu meningkatkan perusahaan masing-masing.

Namun begitu, berlaku juga kesilapan-kesilapan yang sering dilakukan dan mungkin tidak disedari oleh usahawan Gen-Y ini dalam  menjalankan perniagaan mereka.

#1 – Untung Mana Untung?


Lazimnya, usahawan muda sering mempersoalkan keuntungan berbanding kualiti dan manfaat kepada pengguna. Pemikiran seperti ini menjadikan mereka lebih menumpukan pulangan yang lumayan berbanding kepuasan hati pelanggan yang berminat akan produk atau perniagaan yang dijalankan.

Fikiran mereka terlalu fokus pada soalan bagaimana caranya untuk berjaya dengan menjual produk dengan kuantiti yang banyak namun melupakan aspek  nilai dan kualiti barang jualan mereka.

Menjual produk yang tidak mempunyai nilai perniagaan dan manfaat bermaksud anda melakukan perkara yang sia-sia! Begitu juga wujudnya  pesaing dalam perniagaan anda dan memiliki kualiti yang lebih baik, maka perniagaan anda akan ditinggalkan pelanggan.

Hal itu menunjukkan bahawa produk anda tidak mempunyai nilai yang melekat di hati pelanggan. Kelainan akan terserlah sekiranya anda  mampu membuat sebuah produk yang tidak dapat dilupakan oleh pelanggan dengan  menawarkan produk yang memenuhi keperluan pelanggan sama ada dari kualiti dan manfaatnya kepada pengguna.

#2 – Kesetiaan Pelanggan Teruji!


Kebanyakan ahli perniagaan muda akan merasa puas dengan jualan produk mereka yang begitu banyak dan meraih keuntungan besar dengan begitu cepat. Namun begitu, belum tentu dengan terjualnya produk dalam skala besar dan  perolehan yang banyak boleh membuat pelanggan akan setia kepada perniagaan anda.

Boleh jadi selepas pembelian pertama, mereka akan meninggalkan perniagaan anda. Jika produk yang kita miliki tidak mempunyai nilai lebih yang boleh membuat pelanggan akan membelinya kembali, maka akan sukar mengekalkan pelanggan pada sebuah perniagaan.

Maka dari itu sebagai seorang ahli perniagaan,  anda ditegah untuk sekadar memikirkan bagaimana menjual produk dengan cepat, tetapi perlu juga memikirkan bagaimana pelanggan mahu kembali semula membeli produk tersebut dan menjadi pelanggan yang setia.

#3 – Pendidikan vs Etika


Mencari pekerja yang mempunyai latar belakang pendidikan tinggi dan sudah berpengalaman dilihat seakan menjadi kriteria ’wajib’ dalam  pengambilan pekerja baru. Memang tiada yang salah dengan hal itu, namun pendidikan yang tinggi bukanlah menjadi satu-satunya tanda aras bahawa calon pekerja tersebut berkualiti.

Apa salahnya mencari pekerja yang mempunyai kemahuan tinggi untuk maju dan mempunyai tekad dan keazaman untuk bersama-sama membangunkan perniagaan yang anda jalankan.

Perlu diingat! Pendidikan bukanlah jaminan bahawa individu tersebut mempunyai etika yang baik dalam melaksanakan tugas yang diberikan.

#4 – Gagal? Bertenang Dan Senyumlah


Ini kunci kejayaan yang penting dan seharusnya diberikan perhatian kepada yang bakal memulakan perniagaan. Biasanya usahawan muda akan merasa takut mengalami kegagalan. Oleh itu semua yang mereka lakukan akan terhalang dengan rasa takut hinggalah keputusan dan cara menjalankan perniagaan terlalu berhati-hati sekali.

Tidak dapat dinafikan bahawa setiap perniagaan pasti tidak ingin merasakan kegagalan dalam menjalankan perusahaannya. Namun, sedarkah kita bahawa dengan kegagalan tersebut menjadikan kita lebih memahami serba-serbi kekurangan dan akan mengetahui langkah selanjutnya untuk mengelakkan kegagalan tersebut.

Justeru, bagi usahawan muda,  janganlah ‘seriau’ dengan istilah ‘gagal’ itu sedangkan perkara tersebut memberi sumbangan yang besar dalam kehidupan kita pada masa akan datang!

Penulis : Editor majalah niaga
Sumber artikel : http://www.majalahniaga.com/4-kesalahan-yang-sering-dilakukan-oleh-usahawan-muda.html
Back To Top